Friday, June 25, 2010

JAMAK

Pengertian Jamak

1-Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anhu:

“Inginkah tuan-tuan saya ceritakan perihal sembahyang Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sewaktu sedang dalam perjalanan.”

Ujar kami: “Baik.”

Katanya: “Jika baginda masih berada di rumah semasa matahari telah tergelincir (masuknya waktu Zuhur), baginda jamakkan Zuhur dengan Asar (jamak taqdim) sebelum berangkat, tapi kalau belum lagi tergelincir, maka baginda berjalan hingga nanti bila waktu Asar masuk baginda pun berhenti dan menjamak sembahyang Zuhur dengan Asar (jamak ta’khir). Begitu juga jika selagi baginda di rumah waktu Maghrib sudah masuk, baginda jamaklah sembahyang Maghrib dengan Isyak, tetapi kalau waktu belum lagi masuk, baginda terus sahaja berangkat dan nanti bila waktu Isyak tiba, baginda pun berhenti untuk menjamak sembahyang Maghrib dan Isyak itu.”

[Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnad Ahmad, hadis no. 3480 dan dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth. Bagi Musnad Ahmad edisi 6 jilid, rujuk jld. 1, ms. 367-368.] (RJ1, m/s 13)


2-Bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sewaktu perang Tabuk, selalu menjamak sembahyang Zuhur dengan Asar (jamak taqdim-pen) bila berangkat sesudah tergelincir matahari (setelah masuk waktu Zuhur), tetapi apabila berangkatnya sebelum matahari tergelincir (sebelum waktu Zuhur) maka sembahyang Zuhur diundurkan baginda, dan dihimpunnya sekali dengan Asar (jamak ta’khir-pen). Begitu pula dalam sembahyang Maghrib, iaitu sekiranya baginda berangkat sesudah matahari terbenam (telah masuk waktu Maghrib), dijamaknya Maghrib dengan Isyak (jamak taqdim-pen), tetapi kalau berangkatnya itu sebelum matahari terbenam, diundurkannyalah Maghrib itu sampai waktu Isyak dan dijamaknya dengan sembahyang Isyak (jamak ta’khir).

[Hadis riwayat Imam Abu Dawud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Dawud, Kitab al-Shalah, hadis no. 1208.] (RJ1, m/s 45)

Jamak Ketika Tidak Bermusafir

1-hadis dari Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anhu, dia berkata:

Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang di Madinah (bukan dalam musafir) sebanyak tujuh dan lapan rakaat iaitu dengan menjamak Zuhur dan Asar serta Maghrib dan Isyak.

[Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, KitabMawaqif al-Shalah, hadis no. 543.] (RJ1, m/s 47)

2-Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anhu menerangkan:

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menjamak sembahyang Zuhur dan Asar serta Maghrib dan Isyak di Madinah (bukan dalam musafir), bukan kerana dalam ketakutan atau hujan.”

Lalu orang bertanya kepada Ibnu ‘Abbas: “Kenapa Nabi shallallahu‘alaihi wasallam berbuat sedemikian?”

Jawabnya: “Baginda bertujuan agar tidak menyukarkan umatnya.”

[Hadis riwayat Imam Abu Dawud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Dawud, Kitab al-Shalah, hadis no. 1211.] (RJ1, m/s 47)

Penjelasan Hadis :

a- Syaikh al-Albani rahimahullah menjelaskan:

Hadis ini tidaklah seperti apa yang disangka oleh banyak para penuntut ilmu bahawa sembahyang (jamak) itu boleh dilakukan bila-bila sahaja tanpa pertimbangan dan tanpa alasanpun.Tetapi jika ada sesuatu yang memberatkan untuk dilaksanakan sembahyang pada waktunya maka ketika itu boleh baginya menjamak sembahyang demi menghilangkan kesulitan tersebut, baik berupa jamak taqdim ataupun ta’khir. Sesungguhnya alasan syar’i dari sembahyang jamak ini adalah untuk menghilangkan kesulitan dari kaum Muslimin. Maka jika tidak ada kesulitan tidak boleh jamak, dan wajib bagi kita memahami hadis di atas secara sempurna. Dan kesempurnaan hadis tersebut adalah sebagai berikut:

Lalu orang bertanya kepada Ibnu ‘Abbas: “Kenapa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berbuat sedemikian?”

Jawabnya: “Baginda bertujuan agar tidak menyukarkan umatnya.”


Dengan adanya sembahyang jamak yang dilakukan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam keadaan mukim dan tanpa uzur turunnya hujan bukan bererti semua orang boleh menjamak sembahyang tanpa adanya kesulitan.

[Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Fatwa-Fatwa Albani, (Edisi terjemahan oleh Adni Kurniawan, Pustaka At Tauhid, Jakarta 2002), ms. 88-89.](RJ1, m/s47-48)

b- Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah berkata:

Dalam Syarah Muslim, Imam al-Nawawi rahimahullah berkata: “Beberapa imam membolehkan jamak bagi orang yang tidak musafir, bila ia ada suatu kepentingan, asal sahaja hal itu tidak dijadikan kebiasaan. Ini juga merupakan pendapat Ibnu Sirin dan Asyhab dari golongan Maliki, dan menurut al-Khaththabi juga pendapat al-Quffal dan al-Syasy al-Kabir dari golongan Syafi’i, juga dari Ishak Marwazi dan dari jemaah ahli hadis, serta inilah pula yang dipilih oleh Ibnul Mundzir.

[Syaikh Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jld. 2, ms. 227.](RJ1, m/s 50)

c- Ibnu Taymiyyah berkata:

Mazhab Fiqh yang paling longgar dalam masalah menjamak sembahyang adalah mazhab al-Imam Ahmad. Sebab beliau telah membolehkan menjamak antara dua sembahyang hanya disebabkan adanya keperluan ataupun ketika sedang sibuk.

[Syaikh Abu Ubaidah Masyhur, Total Koreksi Ritual Shalat, ms. 411.](RJ1, 49)

Rujukan :

RJ1 - Sembayang Jamak Dan Qasar Adalah Sedekah ALLAH, Penulis: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus, Cetakan Pertama: 2005, Penerbit: Perniagaan Jahabersa

Penyusun : Mohd Jusharil Bin Juang

Email : Jawzril84@gmail.com

YM : jawzril84@yahoo.com

No comments:

Post a Comment