Thursday, June 24, 2010

QASAR

Pengertian Qasar

وَإِذَا ضَرَبۡتُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ فَلَيۡسَ عَلَيۡكُمۡ جُنَاحٌ أَن تَقۡصُرُواْ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ إِنۡ خِفۡتُمۡ أَن يَفۡتِنَكُمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ‌ۚ إِنَّ ٱلۡكَـٰفِرِينَ كَانُواْ لَكُمۡ عَدُوًّ۬ا مُّبِينً۬ا

"dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa 'mengqasarkan'(memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh Yang amat nyata bagi kamu."[An-Nisa 4:101]

1-Asbabun Nuzul Ayat 101, Surah An-Nisa:

Ali r.a menjelaskan, bahawa ayat ini diturunkan berkenaan denga sekelompok orang dari Bani Najjar yang suatu ketika bertanya kepada Rasulullah s.a.w., “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami sering berpergian untuk berniaga, bagaimana cara kami melakukan shalat?”[HR. Ibnu Jarir. Lihat Ibnu Kathsir 1/721] (RJ3, m/s 95)

2-Hadis riwayat dari Ya’laa bin Umayyah radhiallahu 'anhu, dia berkata:

Aku pernah bertanya kepada Umar al-Khattab radhiallahu'anhu berkenaan dengan firman Allah “maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir” ; sedangkan pada masa sekarang ini manusia telahpun berada dalam keadaan aman.”
Umar menjawab: “Aku sendiri pernah merasa hairan juga seperti kamu oleh itu aku telah bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tentang hal ini lalu Baginda bersabda:
“Itu adalah sedekah yang diberikan oleh Allah kepada kalian maka terimalah sedekah-Nya.” [Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al- Shalah, hadis no. 1014. Peristiwa yang sama juga diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Shahih Muslim, Kitab al-Shalah al-Musafiraini wa Qasaruha, hadis no. 686 dan juga diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi dalam Sunan al-Tirmidhi, hadis no. 2960]. Ms 12

3-Tafsir Ibnu Kathsir :

Bagi ayat “maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang” Ibnu Kathsir mengatakan :
Yaitu kalian diberi keringanan, yaitu dari segi jumlahnya dari empat menjadi dua, sebagaimana yang difahami oleh jumhur ulama dari ayat ini. Mereka mengambil dalil bolehnya mengqasharkan shalat di dalam perjalanan, walaupun ada perbedaan pendapat di kalangan mereka. Sebagian berpendapat, perjalanan harus dalam rangka taat seperti jihad, haji, umrah, menuntut ilmu atau ziarah dan lain-lain. Sebagaimana yang diriwayatkan dar Ibnu ‘Umar, ‘Atha’ dan Yahya, dari Malik dalam satu riwayatnya, kerna zahir firman-NYA : “jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir”.

Ada pula yang berpendapat, tidak disyaratkan perjalanan dalam rangka taqarrub. Akan tetapi perjalanan harus dalam perkara yang mubah, kerana firman-NYA : “maka barang siapa terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja membuat dosa.”(QS. Al-Maidah 5 : 3). Sebagaimana dibolehkannya memakan bangkai dalam keadaan darurat dengan syarat bukan maksiat dalam safarnya. Ini adalah pendapat asy-Syafi’I, Ahmad dan imam-imam yang lain. Ada pula yang berpendapat: “Cukup apa saja yang dinamakan perjalanan, baik mubah maupun haram, sekali pun seandainya ia keluar untuk merampok dan membegal, maka diringankan baginya (untuk mengqashar), kerana mutlaknya kata perjalanan.” Ini adalah pendapat Abu Hanifah, ats-Tsauri dan Dawud, karena keumuman ayat ini. Dan ini berbeda dengan jumhur ulama.
[Terjemahan Tafsir Ibnu Katsir Jilid 2, Peneliti: DR. ‘Abdullah bin Muhammad bin ‘Abdurrahman bin Ishaq Alu Syaikh, Pustaka Imam asy-Syafi’I, m/s 391]

Hukum Qasar
1-Hadis dari Aisyah radhiallahu 'anha:

Allah mewajibkan sembahyang pada saat memfardhukannya (pertama kali) sebanyak dua rakaat dua rakaat baik ketika hadir (tidak bermusafir) mahupun ketika musafir. Kemudian ditetapkan pada sembahyang perjalanan (sebanyak dua rakaat) dan ditambah lagi (sebanyak dua rakaat) pada sembahyang hadir.
[Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Shalah, hadis no. 350.] (RJ1, m/s 20)

2- Hadis dari Ibnu Umar radhiallahu 'anh berkata:

Aku pernah menemani Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan baginda tidak melebihkan sembahyangnya dari dua rakaat dalam perjalanan (safar), begitu juga oleh Abu Bakar, Umar dan Uthman.[Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih Bukhari, Kitab al-Jumu’at, hadis no. 1102.] (RJ1, m/s 21)

3- Hadis dari Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anh berkata:

Difardhukan sembahyang melalui lisan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bagi orang bermukim empat rakaat, bagi musafir dua rakaat dan bagi orang yang takut (diserang musuh) satu rakaat.
[Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalamShahih Sunan al-Nasa’i, Kitab al-Shalah, hadis no. 456.] (RJ1, m/s22)

4- Hadis dari Umar al-Khatthab radhiallahu 'anh berkata:

Sembahyang dalam perjalanan (safar) dua rakaat, sembahyang Jumaat dua rakaat, sembahyang ‘Id (hari raya) dua rakaat, itu semua adalah tamam (sembahyang yang sempurna), bukan qasar menurut keterangan dari lidah Muhammad shallallahu‘alaihi wasallam.
[Hadis riwayat Imam Ibnu Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibnu Majah, Kitab Iqamah al-Shalah wa sunnah fiha, hadis no. 1063.] (RJ1, m/s 22)

5- Hadis dari Ibnu Umar radhiallahu 'anh berkata:

Sesungguhnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam datang kepada kami, ketika kami kesesatan (jalan) lalu baginda mengajari kami, dan di antara yang diajarkan kepada kami, bahawa Allah 'Azza wa Jalla memerintahkan kami agar sembahyang dua rakaat dalam perjalanan (safar).
[Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan al-Nasa’i, Kitab al-Shalah, hadis no. 457.] (RJ1, m/s 23)

Syarat Qasar
1- Hadis riwayat dari Abdullah ibnu Umar radhiallahu 'anhuma , dia berkata:

Adalah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika keluar dari kota Madinah, baginda tidak menambah rakaat sembahyang-sembahyangnya melebihi 2 rakaat (kecuali Maghrib) sehinggalah baginda kembali ke kota Madinah.
[Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibnu Majah, Kitab Iqamah al-Shalah wa al-Sunnah Fiha, hadis no. 1067.] (RJ1, m/s 31)

2- Apabila Anas bin Malik radhiallahu 'anhu ditanya tentang solat qasar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, beliau menjelaskan:

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam apabila keluar dalam satu perjalanan yang berjarak tiga mil* atau tiga farsakh* (Syu’bah ragu-ragu) maka baginda sembahyang hanya 2 rakaat.
[Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahih Muslim, Kitab Shalat Musafiraini wa Qasaruha, hadis no. 691.] (RJ1, m/s33)

* Satu mil bersamaan dengan 1,748 meter manakala satu farsakh pula bersamaan dengan 5,541 meter. 3 mil bersamaan dengan 1 farsakh.

3- Al-Baihaqi telah menyebutkan dalam riwayatnya melalui jalur ini bahawa Yahya bin Yazid radhiallahu 'anhu berkata:

Aku bertanya kepada Anas tentang mengqasarkan sembahyang dan saat itu aku akan keluar menuju Kufah (iaitu dari Bashrah), apakah aku sembahyang dua rakaat dua rakaat hingga kembali.” Anas juga berkata: “Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan perjalanan sejauh tiga mil atau tiga farsakh maka baginda sembahyang 2 rakaat.”
[Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnad Ahmad, hadis no. 12313 dan sanadnya dinilai hasan oleh Syu‘aib al-Arna’uth. Bagi Musnad Ahmad edisi 6 jilid, rujuk jld. 3, ms. 129.] (RJ1, m/s34)

4- riwayat dari Anas bin Malik radhiallahu 'anhu, dia berkata:

Sesungguhnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang Zuhur empat rakaat di Madinah* dan bersembahyang Asar di Dzil Hulaifah* dua rakaat.
[Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahih Muslim, Kitab Shalat Musafiraini wa Qasaruha, hadis no. 690.] (RJ1, m/s35)

* Sebagaimana yang telah sedia maklum jarak perjalanan dari Madinah ke Dzil Hulaifah adalah 7 mil iaitu bersamaan dengan antara 12 hingga 13 kilometer.

Tempoh Qasar
1-Hadis dari Jabir bin Abdillah, dia berkata:

“Rasulullah shallallahu‘alaihi wasallam bermukim di Tabuk selama dua puluh hari (dan baginda) mengqasarkan sembahyang.”
[Hadis riwayat Imam Abu Dawud dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Abu Dawud, Kitab al-Shalah, hadis no. 1235.] (RJ1, m/s39)

3- Hadis dari Yahya bin Abi Ishak berkata:

“Saya mendengar Anas bin Malik berkata: “Kami pernah musafir bersama Rasulullah shallallahu‘alaihi wasallam dari Madinah ke Mekah. Selama dalam musafir itu baginda melakukan sembahyang secara dua rakaat (qasar kecuali Maghrib) sehingga kembali ke Madinah.

Saya bertanya: “Berapa lamakah anda berada di kota Makkah?”

Anas menjawab: “Kami menginap di Kota Makkah selama sepuluh hari.”
[Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Jamaah, hadis no. 1081.] (RJ1, m/s40)

Hadis Dha’if Tentang Qasar
1-Diriwayatkan dari Imran bin Hushain, dia berkata:

“Aku berperang bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pada saat penaklukan kota Mekah, maka baginda bermukim di Mekah selama lapan belas malam dan tidak sembahyang kecuali sebanyak dua rakaat (qasar).”
[Hadis riwayat Imam Abu Dawud dan dinilai dha‘if oleh al-Albani di dalam Dha‘if Sunan Abu Dawud, Kitab al-Shalah, hadis no. 1229] (RJ1, ms39)

2- Hadis Dari Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anhu:

“Wahai penduduk Mekah, janganlah kamu sekalian mengqasarkan sembahyang (bagi jarak perjalanan) yang kurang dari 4 barid (2 marhalah) iaitu dari Mekah ke Asfan.”
[Berkata Imam al-Syaukani rahimahullah:
Hadis ini tidak boleh dijadikan hujjah kerana dalam sanadnya (jalur perawi yang meriwayatkan hadis ini) terdapat Abdul Wahhab bin Mujahid bin Jubair, dia adalah matruk (tertolak). Imam al-Nawawi juga menyatakan beliau adalah pendusta. Menurut al-Uzdy, riwayat ini tidak sah darinya (iaitu dari Ibnu ‘Abbas radhiallahu 'anhu) kerana perawi yang meriwayat darinya adalah Isma’il bin Iyash dan dia adalah dha’if (lemah di kalangan orang-orang Hijaz) dan Abdul Wahhab tersebut adalah orang Hijaz. Yang benar, hadis ini adalah mauquf (terhenti) pada Ibnu ‘Abbas, sebagaimana yang ditakhrij oleh al-Syafi’i darinya dengan sanad yang shahih. [Imam Muhammad al-Syaukani, Nailul Authar, jld. 3, ms. 481.]] (RJ1, m/s36)

Rujukan :
RJ1 - Sembayang Jamak Dan Qasar Adalah Sedekah ALLAH, Penulis: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus, Cetakan Pertama: 2005, Penerbit: Perniagaan Jahabersa
RJ2 - Tafsir Ibnu Katsir Jilid 2, Peneliti: DR. ‘Abdullah bin Muhammad bin ‘Abdurrahman bin Ishaq Alu Syaikh, Pustaka Imam asy-Syafi’I,
RJ3 – Tafsir Quran Per Kata-Dilengkapai Dengan Asbabun Nuzul Dan Terjemahan, Dr. Ahmad Hatta, Magfirah Pustaka
--------------------------------
Penyusun : Mohd Jusharil Bin Juang
Email : Jawzril84@gmail.com
YM : jawzril84@yahoo.com

No comments:

Post a Comment